Hampir pukul 12 tengahari, kami tiba di pinggir bandar Pekan. Namun jalan agak sesak; jem satu kilometer dari bandar. Kami ingatkan ada lagi kemalangan, namun sangkaan kami meleset kerana kesesakan ini telah disebabkan oleh jumlah kenderaan yang agak banyak yang ingin memasuki bandar secara serentak. Kesulitan ini ditambah lagi dengan lokasi lampu isyarat yang terletak tidak jauh dari kawasan utama bandar.
Selepas hampir 20 minit ‘melayan’ kesesakan (yang pertama kali kami lalui walau sudah lebih 10 kali lalu di sini tanpa kesesakan), kami pun tiba di pusat bandar Pekan. Stesen minyak Shell menjadi lokasi pertama yang kami tujui untuk top up minyak yang sudah menunjukkan paras separuh (waktu kami bergerak dari JB, kami telah mengisi penuh minyak).
Saya mengambil kesempatan untuk mengambil udara segar setelah duduk di kerusi belakang kereta untuk tempoh lebih dua jam.
‘Perghhh, kejang gak kaki ni duduk lama-lama dalam kereta ni’, kataku sedikit mengeluh.
Saya mendukung baby Izz Iman bersama bersiar-siar di kawasan stesen sementara menunggu Watie mengisi minyak keretanya. Pada waktu ini keadaan agak terang dan tidak hujan. Tapi keadaan di bahu jalan yang sedikit becak menunjukkan yang tadi ada hujan yang telah membasahi muka bumi Pekan ini.
Selesai mengisi minyak, tiba-tiba gerimis turun. Dengan pantas saya berlari membawa masuk anak kecilku bersama masuk kembali ke dalam kereta. Watie menghidupkan enjin dan kami menuju kembali ke jalan utama. Ina (isteriku) sedikit gusar dengan keadaan cuaca yang berubah-ubah ibarat kata pepatah ‘4 musim dalam sehari’. Manakan tidak, kejap hujan, kejap tidak.
Ina risaukan cuaca ini mungkin akan memberi kesan kepada baby Izz Iman yang sedikit sensitif terutama jika sejuk berpanjangan. Namun kami berharap keadaan akan bertambah pulih sepanjang perjalanan ini. Selepas melalui beberapa bangunan terkenal di Bandar Di Raja ini, kami melepasi jambatan yang dibina merentasi sungai Pahang. Jambatan ini baru di perbesarkan beberapa tahun yang lalu selari dengan perkembangan terkini di mana semakin banyak kereta melalui bandar ini. Ini ditambah lagi dengan siapnya lebuhraya ke Kuantan, lebih ramai yang memilih untuk menggunakan laluan Mersing – Kuantan selain laluan Segamat – Kuantan yang semakin di makan usia dan memerlukan kerja baik pulih.
Lebuhraya yang baru siap dalam lingkungan 2-3 tahun ini, biasanya saya boleh memecut laju sehingga 110km/j. Jaraknya cuma dalam 35-40km ke Kuantan sebelum masuk ke laluan utama tepi laut yang akan melalui beberapa Bandar seperti Chukai, Kerteh, Paka, Dungun dan kemudian Marang.
Kami singgah sebentar di sebuah kedai makan di Cherating untuk makan tengahari. Lauknya agak menarik kerana ada telur itik masak lemak. Susah nak cari di Johor makanan unik macam ni. ‘Nyum...nyum...nyum...’, kataku dalam hati. Untuk minuman, saya order air sirap limau ais kesukaanku. Nanti tercekik pula kalau makan tanpa minum air.
Selepas mengisi perut (Alhamdulillah kepada Allah yang memberikan rezekiMu), kami meneruskan perjalanan. Lumrah biasa, bila lewat waktu tengahari dan perut dah kenyang, mata pun mula berat semacam jer. Ku cuba menahannya daripada tertutup tapi ternyata bermimpi itu lebih indah dari menikmati dunia sebenar. Dan aku mula belayar ke tempat yang tiada di dunia. Selamat tinggal duniaku........
Bila tersedar, kami sedang melalui bandar Kerteh. Di sini merupakan antara tempat penapisan minyak terbesar di Malaysia. Boleh nampak dengan jelas silo-silo simpanan minyak yang saiznya setinggi bangunan 10 tingkat tapi berbentuk bulat. Kemudian terdapat banyak paip2 bersaiz gergasi yang panjang dan berselirat yang digunakan untuk menyalurkan minyak ke pelbagai lokasi sebelum minyak boleh digunakan sebagai bahan bakar untuk kenderaan, mahupun pelincir untuk enjin, antaranya. Banyak lagi sebenarnya produk dari minyak tapi nanti tak cukup muka surat pulak nak bercerita.
Yang saya paling suka bila melalui kawasan ini ialah saya boleh melihat obor besar dari serombong tinggi yang dibina. Saya difahamkan yang ianya adalah produk lebihan yang tidak boleh digunakan dan daripada dibuang menjadi pencemaran pada bumi, jadi ianya dibakar. Tapi bila fikir2 balik, kalau dibakar pun boleh menjadi haba yang mungkin boleh diubah menjadi bahan yang berguna. Mereka saintisnya, saya hanya orang awam, kataku.
Sambil melayan kerenah si kecil Izz Iman, yang kadang2 nak duduk di kerusi belakang bersama mamanya, sempat juga aku melihat jam di tangan yang semakin hampir mendekati jam 4 petang. Tak sabar rasanya nak sampai ke kampung yang jauhnya masih lagi 250km dari lokasi kami sekarang. Mesti sampai saja di sana boleh ON TV dan lepak sambil makan keropok. Dan Izz Iman pasti yang paling teruja bila dapat merangkak satu rumah setelah duduk tanpa ruang yang banyak di dalam kereta lebih dari 12 jam.
Tanpa disedari, kereta yang kami naiki sudah melintasi daerah Marang yang terkenal dengan pantainya dan juga keropok lekornya. Bersepah2 gerai dan kedai yang ada di kiri kanan jalan yang menjual keropok ini. Kalau korang lalu kawasan ni dan tak nampak semua kedai2 ni, saya tak tau nak panggil korang apa. Jadi bila sebut pasal keropok ini, kami pasti singgah di kedai ini, Keropok Lekor Kelulut 008, nama diberi.
Keropok Lekor Kelulut 008 antara tempat yang patut singgah kerana produknya yang terkenal. Rugi jika tak menyinggah di sini. Mesti beli keropok losong yg dijual dengan harga RM5 sepaket sahaja. Kalau tak nak makan, buat gift untuk kawan2 pun sesuai juga. Boleh minta yang dah digoreng mahupun yang direbus (yang boleh simpan lama untuk digoreng di rumah). Kedainya terletak betul2 berdepan dengan tepian laut. Kalau memang nak bercuti di sini, boleh lah ke sini untuk mandi manda.
Kami singgah sekejap sahaja di sini memandangkan masih jauh lagi perjalanan yang perlu kami tempuhi. Kami hanya membeli beberapa bungkus keropok losong goreng kerana yang rebus tidak ada stok yang sudah siap dibungkus.
Sementara menunggu di dalam kereta, saya menukarkan lampin Izz Iman yang sudah agak berat. ‘Nasib baik tak bocor!’ sambil menanggalkan melihat lampin Izz yang amat berat, penuh dengan ‘bahan buangan’.
Selesai menukarkan lampir anakku, Watie meneruskan pemanduan. Katanya masih bertenaga walaupun sudah memandu lebih dari 8 jam. Suka hatilah! Lagi pun ini kereta dia di mana saya dan Ina hanya menumpang untuk pulang beraya di kampung. Selalunya naik keretaku yang bergear automatik. Tapi kalau bawa kereta saya, memang dia tak akan sentuh langsung seterengnya. Tak pandai nak bawa kereta auto katanya.
‘Kalau tak pandai kena belajarlah’, kataku sinis.
Laluan ni agak sibuk sedikit. Banyak kereta dan lori yang menggunakan laluan ini di samping juga bas ekspres. Jadi kadang-kadang, kereta hanya boleh dipandu dengan kelajuan sekitar 70-80 km/j. Nak memotong kenderaan yang agak perlahan pun perlukan kesabaran sebab laluannya hanya selorong (dan selorong dari arah bertentangan). Kalau memandu perlu berhati2 kerana ada juga kes yang tiba-tiba ada binatang peliharan yang melintasi jalan. Kebanyakannya lembu, tapi ada juga kambing dan tak terkecuali kucing.
Dalam lingkungan 6.15 petang, kami tiba di Bandar Kuala Terengganu. Memandangkan sudah hampir 4 jam kami di dalam kereta, kami mencari sebuah stesen minyak yang berdekatan untuk berhenti seketika bagi menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar di bilik solat yang disediakan. Alhamdulillah, dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang islam. Harapan untuk menjadi mukmin yang taat dan dapat berbakti kepada, diri, keluarga dan bangsa menjadi intipati doaku tadi. Insyaallah, semoga dengan keberkatanNya, kami sekeluarga selamat tiba ke kampung kami yang hanya tinggal 150km dari lokasi kami.
Nampaknya masih perlu 2-3 jam untuk tiba. Izz perlu mandi sebelum malam supaya dia segar dan selesa sepanjang baki perjalanan ini. Jadi kami ambil kesempatan di perhentian ini untuk memandikan anak kecil kami, Izz Iman. Nasib baik juga bilik solat lelaki tiada orang pada waktu itu dan di situ kami menukar pakaian Izz.
Setelah selesaikan menguruskan anak comel, sempat saya singgah sebentar di kedai mini di sini untuk membeli sedikit makanan untuk dijadikan bekal untuk menempuh suku terakhir perjalanan ini. Sebungkus kek, satu pek kecil biskut Chipsmore dan beberapa kotak minuman Yeo’s memenuhi plastik yang saya bawa. Cukup rasanya untuk mengalas perut kami berempat sebelum tiba nanti.
Walaupun mengikut perkiraan jaraknya cuma tinggal 150km. Namun, laluan ini pasti akan melalui kawasan kampung yang pasti akan sedikit sebanyak akan memperlahankan tempo kami. Motor yang lalu lalang, penduduk yang melintas jalan, di tambah lagi dengan ketibaan waktu solat (Maghrib dan Isyak) di mana ada yang dalam perjalanan ke masjid atau surau dan sebaliknya. Kadang2 lori balak yang sarat dengan muatan juga menjadi penghalang dan bukan mudah untuk memotong kenderaan sebegini dengan laluan yang menjanjikan jalan berbukit dan banyak selekoh bak ular yang dipalu.
Yang pasti keselamatan mesti diutamakan walaupun kami ingin cepat sampai ke rumah banglo milik Encik Abdul Rahman dan Puan Aminah. Sepanjang perjalanan kali ini, aku tak banyak berbual tapi Ina yang banyak bercerita tentang masalah di tempat kerjanya. Saya hanya mendengar sambil memegang Izz yang semakin lentok tidur di pangkuanku. Sekali sekala terdengar deruman enjin kereta Watie yang minta lebih petrol untuk memintas lori yang perlahan. Ada juga beberapa ketika Watie yang meninggikan lampu untuk kereta dari arah bertentangan yang kadang2 cuba memotong walau sedar yang kereta kami terlalu dekat dan pasti tidak lepas untuk memotong kenderaan di depannya.
Terasa masa berlalu amat perlahan ketika ini. Hujan yang kadang-kadang menjadi lebat juga memperlahan tempo perjalanan kami. Mungkin agaknya penat sudah menguasai kami dan hanya memikirkan alangkah seronoknya jika sudah tiba. Dalam melayani angan2 itu ditambah kesejukan angin malam dan penghawa dingin yang agak kuat, aku terlelap.
Bila aku terjaga, rupa2 hanya tinggal beberapa kilometer untuk kami tiba ke destinasi terakhir kami. Ina yang perasan aku terjaga terus berseloroh, ‘Ingatkan Izz yang berdengkur tadi’, sambil ketawa kecil. Kami melepasi simpang ke Rantau Panjang yang menandakan kami makin dekat dengan kampung tujuan kami. Walaupun belum tiba, tapi sudah terasa keseronokannya. ‘Akhirnya sampai juga’, kataku di dalam hati.
Kami pusing ke selekoh terakhir, dimana hanya tinggal 2 km sebelum tiba ke rumah mertuaku. Watie memandu perlahan di jalan kampung yang agak gelap kerana hanya terdapat beberapa lampu jalan yang masih berfungsi. Kami melepasi rumah Pak Tengah (adik kepada bapa mertuaku) yang agak sunyi, tapi agak terang dengan lampu dan ruang letak kereta yang baru siap dibina beberapa minggu yang lalu.
Akhirnya setelah lebih 700km memandu meninggalkan JB pagi itu, menempuhi perjalan lebih 14 jam, tepat jam 9.30 malam, kami pun tiba di perkarangan rumah ayah dan mak. ‘Alhamdulillah, selamat tiba’, kataku pada semua. Kami dengan ceria menjejakkan kaki di bumi Jedok, Tanah Merah. Bermulalah detik2 percutian Raya Aidiladha kami di bumi Kelantan yang penuh dengan pemandangan indah.
Jumpa saya di nukilan seterusnya, ‘Raya Qurban Paling Bermakna’.
No comments:
Post a Comment